1442 Hijrah Sinar Kejayaan Buat Anda!

By August 21, 2020News, Pengurusan Pengajian, Ph.D

Tahun baru Hijrah yang disambut pada bulan Muharram saban tahun, membawa sinar baru kepada harapan dan impian kehidupan insan yang bergelar Muslim. Awal Muharram adalah tahun permulaan dan perubahan untuk kita semua berhijrah kearah yang lebih baik.

Inilah peluang untuk muhasabah diri mengenal pasti kekurangan sebelum ini, dan menyusun kembali strategi tindakan-tindakan agar kekal diatas landasan yang benar.

Tiap insan dikurniakan kesempatan jumlah masa, hari, minggu dan bulan yang sama dalam setahun, walau siapa pun anda pintu kejayaan sentiasa terbuka di dalam apa jua bidang kita ceburi.

Sejarah dan jalan kehidupan kita berbeza.

Jika kita masih berada di bawah, tidak perlu berasa rendah diri dan membandingkan diri dengan pencapaian orang sekeliling.

Begitu juga ketika kita sedang meniti puncak kejayaan tertinggi ketika ini, usahlah mendongak ke langit dan memandang rendah kepada orang bawahan, kerana sekelip mata kejayaan itu boleh menjadi tidak relevan lagi pada masa hadapan.

Awal Muharram bukan sahaja bulan memperbaharui impian dan cita-cita duniawi, namun inilah masa untuk kita memperbaharui corak pemikiran kita, bahawa setiap sesuatu di muka bumi adalah tidak kekal, lingkungan kita, zaman, ilmu dan teknolgi tetap berubah mengikut peredaran masa, kecuali Ilmu-Nya sahaja yang kekal hingga ke hari kiamat.

Sedarlah wahai bangsa posgrad, tiap ilmu yang ditulis adalah hidayah yang datangnya daripada Allah Ta’ala. Tiada apa yang perlu dibanggakan sekalipun anda telah menggapai gelaran tertinggi dalam dunia akademik, kerana semua yang anda capai adalah dengan izin-Nya dan kekuatan daripada-Nya jua.

Oleh yang demikian, detik perubahan Ma’al Hijrah haruslah berfokus kepada penghayatan ilmu-Nya yang Maha Luas dan bersyukur kerana anda menjadi antara insan yang diberikan kesempatan dan amanat untuk menuntutnya.

Gunakanlah amanat ini untuk menjadi khalifah yang bermanfaat dunia akhirat dengan memberi kembali kepada masyarakat.

Tanggungjawab bangsa posgrad adalah dengan memberi.

Dengan kepakaran dan pengetahuan yang Allah Ta’ala pinjamkan sebentar di atas muka bumi ini kepada anda melalui gelaran bangsa posgrad, manfaatkanlah ia dengan sebaik mungkin kepada negara, bangsa, masyarakat dan agama.

Ini kerana, semakin banyak anda memberi, semakin banyak kebaikan yang akan datang kepada anda dan rahmat Allah Ta’ala semakin terbuka buat anda.

Sebagai merealisasikan tanda syukur kepada Allah Ta’ala atas ilham kurniaan-Nya, bantulah rakan seperjuangan anda terutamanya sahabat handai yang sedang tersangkut dalam penulisan Master PhD mereka.

Ibarat memberi pancing kepada mereka, agar penulisan tesis anda dapat berkembang bersama-sama mereka dibawah kasih sayang ukhuwah.

Dengan asbab anda memberi dan berkongsi kebaikan, insyaallah semakin lancar juga penulisan tesis anda. Namun begitu, anda perlulah menyediakan diri anda terlebih dahulu dengan kelengkapan ilmu dan kemahiran yang tinggi agar anda berkemampuan untuk memberi.

Hal ini kerana, mana mungkin kita boleh memberi dan berkongsi sesuatu sekiranya kita sendiri tidak memiliki apa-apa. Seperti formula perkongsian Prof. Dr. Muhaya; Ada, Beri dan Dapat. Sesungguhnya ini adalah proses yang berterusan yang tidak mungkin berhasil sekiranya anda tidak berhijrah.

Tindakan diri, rahsia kejayaan kehidupan dan akademik.

Usahlah cepat berpuas hati dalam pencapaian anda, teruskanlah menyasarkan lebih banyak hasil untuk kemajuan akademik dan kehidupan yang lebih besar.

Ingatlah, keputusan yang luar biasa adalah hasil daripada tindakan- tindakan luar biasa yang anda lakukan sejak dahulu.

Hanya dengan tindakan berlandaskan ilmu-Nya, akan menghasilkan gerak kerja yang akhirnya membawa kepada pencapaian dan hasil yang anda dambakan.

Inilah yang dilakukan oleh orang- orang berjaya sejak dahulu, mereka sentiasa melaungkan slogan kejayaan didalam diri mereka berulang kali dan kekal bersemangat mengikuti proses yang betul.

Manfaatkanlah Ma’al Hijrah ini agar anda dapat manfaatkan ilmu-Nya, melalui tiga perkara penting ini:

  1. Melalui proses yang betul dan terbukti berkesan
  2. Berada didalam circle group positif
  3. Mentor yang tidak putus asa membimbing anda

Jika kita mengimbau peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW 1400 tahun yang dahulu, semangat juang baginda dalam menyampaikan risalah kenabian perlu kita contohi biarpun terpaksa bergadai nyawa dan meninggalkan zon selesa.

Namun baginda SAW tetap bersangka baik akan kemenangan yang akan berpihak kepada Islam, dan akhirnya menjadi kenyataan hingga kini tatkala Islam terus berkembang ke serata dunia.

Ini kerana baginda SAW begitu taat kepada perintah Allah Ta’ala dan melalui proses yang merupakan wahyu daripada-Nya, baginda berhijrah bersama keluarga dan sahabat handai yang mempercayai risalah-Nya beserta baginda mengikut seruan dan syariat pelaksanaan dari Allah Yang Maha Esa.

Bersyukurlah kerana anda merupakan seorang Muslim, yang dapat mencontohi jejak langkah tokoh Mulia dan teragung sehingga akhir zaman, iaitu Rasulullah SAW.

Berpeluang berjumpa insan-insan positif di persekitaran anda juga merupakan satu nikmat yang anda perlu syukuri kerana perjuangan hidup ini memerlukan sokongan dan motivasi mereka yang mempercayai anda.

Tidak bermakna sekiranya anda berada didalam suasana dan golongan positif ini anda terhindar daripada ujian dan cabaran, kerana mereka juga insan biasa yang kadang kala diuji dugaan lebih berat dan dahsyat.

Namun yang membezakan diri dan apa yang anda dapat selepas itu adalah bagaimana tindakan dan maklum balas anda terhadap perkara tersebut.

Awal Muharram, inilah masanya buat umat Islam untuk menanam azam tahun baru dan tetap melangkah mencipta sejarah buat diri, keluarga, masyarakat dan ummah.

Sesungguhnya Allah Ta’ala akan mengurniakan sesuatu mengikut prasangka hamba-Nya, maka bersangka baik, berfikiran positif, berbuatlah kebaikan agar takdir dan nasib hidup kita terjamin dunia akhirat.

Nabi SAW kekal menjadi Qudwah Hasanah buat kita semua hingga akhir zaman, dakwah dan contoh teladan baginda SAW terbukti adalah terbaik buat umat manusia.

Baginda SAW adalah sumber dan jana kuasa positif sekian alam, pelajarilah dan hayatilah keteladanan baginda SAW agar niat dan amalan baik kita di muka bumi ini menjadi ibadah secara tidak langsung.

Tanamkan azam baru 1442H anda bersama Dr. Roket: https://bit.ly/NAKJOIN_DRROKET

Leave a Reply