Tindakan-Tindakan Betul Untuk Kebebasan Abadi Anda

Siapa yang suka hidupnya sentiasa terkongkong dan terbatas? Apa yang anda rasa sekiranya tidak mampu mengecapi kebebasan hidup?

Jawapanya sudah pasti setiap daripada kita tidak mahu mengalami perkara sedemikian, dan sedaya upaya mengelakkan diri daripada sebarang belenggu semasa hidup.

Sebelum itu, cuba kita luangkan masa selama dua minit dan fikirkan semula keengganan ini, kita muhasabah dahulu erti kebebasan yang sebenar buat diri.

Kadang- kadang kita sebagai manusia biasa memberi jawapan dan penilaian, terbatas mengikut keinginan dan kehendak semata- mata. Di muka bumi ini kebanyakkan daripada kita memiliki peluang untuk hidup, berimpian dan berusaha merealisasikan impian menjadi nyata.

Syukurlah, kerana itu antara kebebasan duniawi yang anda sedang kecapi terutamanya berada di tanah air tercinta ini, kerana kita adalah anak Merdeka! Jika kita amati melalui peranan sebagai seorang Muslim, kebebasan ini cumalah sebentar;

“Ketahuilah dunia ini adalah tempat persinggahan untuk sementara waktu, bukan tempat tinggal yang sebenarnya, sedangkan manusia di dalamnya adalah musafir yang sedang berkelana.”

Kata pujangga Imam Al- Ghazali ini merupakan peringatan buat kita sebagai Muslim, bahwasanya di dunia ini adalah kehidupan yang cuma sementara, sebelum menjadi penilaian Allah Ta’ala di akhirat kelak.

Jadi, wajarkah kita terus menerus mengatakan tidak dan cuba melarikan diri dari sebarang kongkongan? Selagi kita bernafas di muka bumi ini, sentiasa ada batasan dan kongkongan yang tidak boleh tidak, kita perlu patuhi dengan hati yang terbuka.

Peraturan dan Sunnatullah inilah yang akan membantu kita mencapai kebebasan abadi di akhirat kelak dan untuk mencapainya, kita perlu melakukan tindakan- tindakan yang betul berpandukan syariat-Nya yang sahih.

Inilah yang dinamakan sebagai rukun Islam yang mempunyai 5 tunjang utama, yang menjamin kemaslahatan kehidupan di dunia dan akhirat. Pastinya sebagai Muslim kita sedia maklum dan faham 5 tunjang utama ini, sepertimana Sabda Nabi Muhammad SAW:

“Islam dibina di atas lima perkara: pengakuan bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah, mendirikan solat, membayar zakat, menunaikan haji, dan berpuasa di bulan Ramadhan”. (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Bagi mencapai kebebasan yang abadi, kita perlu faham bahawa dunia ini adalah tempat beramal dan persinggahan mengumpul bekalan sebanyak mungkin bagi jaminan kehidupan yang abadi di akhirat kelak.

Sebagai Muslim di tanah air yang merdeka ini, tindakan- tindakan betul ini amat penting untuk kita hargai dan rebut peluang beramal dengannya. Sudah semestinya 5 tunjang utama ini yang perlu kita utamakan selain daripada amalan kebaikan umum seperti sedekah, bersilaturrahim dan infak.

Tindakan betul pertama bagi mendapatkan kebebasan abadi iaitu mengucap dua kalimah syahadah.

Amalan kita hanya akan diterima oleh Allah Ta’ala sekiranya kita melafazkan dua kalimah syahadah, iaitu dengan bersaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah pesuruh-Nya.

Kalimah ini wajib ke atas setiap Muslim agar tiada yang sia-sia di sisi Allah ta’ala dan segala amalan mendapat perhatian seterusnya keberkatan dari-Nya.

Yang kedua adalah menunaikan solat Fardhu sehari semalam pada waktunya, bertujuan menyembah Allah Maha Esa.

Bukti lafaz dan pengakuan syahadah kita sebentar tadi adalah sudah pasti melalui solat yang kita tunaikan, sebagai membuktikan keagungan-Nya didalam bait-bait bacaan dan rukun didalam 5 solat Fardhu iaitu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak.

Nabi SAW bersabda; “Solatlah pada waktunya, barangsiapa yang meninggalkan solat maka tiadalah agama baginya dan solat itu merupakan tiang agama”. (Riwayat al-Baihaqi)

Tindakan betul seterusnya adalah berpuasa di bulan Ramadhan yang menjadi rukun Islam ketiga untuk dikerjakan oleh setiap Muslim. Berpuasa dengan menahan diri daripada lapar, dahaga dan perkara yang membatalkan puasa, menjadi simbol ketakwaan kita sebagai hamba kepada Allah Ta’ala.

Hikmah daripadanya akan menimbulkan keinsafan kita terhadap golongan yang kurang berkemampuan disamping melatih kesabaran diri menghadapi ujian.

Jikalau kita berkemampuan dari sudut harta benda, menjadi tanggungjawab kita untuk berkongsi kepada mereka yang kurang berkemampuan melalui pemberian zakat.

Ini menjadi peringatan buat kita bahawa harta benda yang kita miliki bukanlah milik kita sepenuhnya, kecuali harta yang diinfak di jalan-Nya yang pasti menjadi pelaburan kita di akhirat sana. Inilah rukun Islam keempat yang perlu kita beri perhatian dan laksanakan mengikut syariat-Nya.

Tindakan betul terakhir adalah menunaikan ibadah haji kepada mereka yang berkemampuan harta dan fizikal sekali seumur hidup. Ibadah haji yang perlu kita patuhi rukun-rukun dan syarat-syarat wajibnya, menuntut pengorbanan rohani dan jasmani yang bukan sedikit.

Namun begitu, keberkatan menziarahi tanah suci telah Allah Ta’ala janjikan sehingga akhir zaman kepada tetamunya. Begitu juga kebebasan abadi kehidupan anda, akan terjamin dengan izin-Nya melalui tindakan- tindakan betul berpaksikan 5 rukun Islam ini!

Leave a Reply